Monday, August 11, 2008

Susu Ibu Selamatkan Bayi..




KUALA LUMPUR: “Hati sungguh `terluka’ melihat anak kembar terlantar di Unit Kecemasan Rapi (ICU) dan lebih menyeksakan apabila tidak bertemu sejak dilahirkan,” kata seorang ibu, Hasmiah Hashim, 25.

Beliau berkata demikian selepas menerima Anugerah Penyusuan Susu Ibu Istimewa di Karnival Penyusuan Susu Ibu sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang dianjurkan Persatuan Penasihat dan Pakar Laktasi Malaysia (PPPLM) di sini, kelmarin.

Hasmiah menerima anugerah berkenaan sebagai membalas jasa beliau yang sanggup berkorban masa dan ‘tenaga’ membantu menyelamatkan bayi itu ketika dalam keadaan kritikal dan sesak nafas selepas dilahirkan empat bulan awal daripada masa sepatutnya sejak Julai lalu.

Selain Hasmiah, anugerah berkenaan turut diterima P Thilahavathi dan Tee Pey Shy yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Awam), Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Ramlee Rahmat. Turut hadir, Presiden PPPLM, Yon Said.

Menurut Hasmiah, bagi menyelamatkan bayinya itu, dia terpaksa menghabiskan masa 16 jam sehari memerah susu dari badannya untuk diberikan kepada bayi berkenaan selama 49 hari.

“Hanya itu saja cara menyelamatkan bayi saya itu, jika tidak ‘nyawa’ mereka mungkin terancam. Doktor kata, hanya susu ibu saja yang boleh membantu bayi itu stabil.

“Syukur, semuanya sudah berakhir dan saya diberitahu keadaan bayi tidak membimbangkan lagi. Hanya satu daripada pasangan bayi itu saja masih berada di wad, tetapi keadaannya stabil,” katanya yang kali pertama melahirkan anak.

Sementara itu, seorang lagi pemenang anugerah berkenaan, P Thilahavathi, 32, berkata ketika melihat anak dalam keadaan tenat di ICU kerana tidak cukup bulan dan bermasalah jantung selepas dilahirkan, dia berasa dirinya bagaikan hendak ‘mati’.

“Saya seperti tidak mahu hidup lagi jika ada perkara tidak diingini berlaku kepada bayi saya. Setiap hari saya menangis ketika memerah susu badan untuk diberikan kepada bayi itu. Sampai sekarang saya berdoa semoga anak akan selamat,” katanya.

Manakala, Tee Pey Shy, 30, yang turut menerima anugerah sama berkata selepas bayinya selamat menjalankan rawatan kerana kurang enam minggu ketika dilahirkan, dia menganggap segala yang berlaku sebagai rahmat dan mempunyai hikmah.

“Berdebar mengetahui bayi dilahirkan hanya seberat 0.975 gram. Terkejut juga mengetahui hanya melalui susu ibu saja, bayi ini boleh diselamatkan. Semua ini membawa pengajaran bermakna dalam hidup saya,” katanya.